Disclaimer: Cerpen bersiri online berjudul Kemenyan ini adalah hak mutlak Blog Anuar Kamaruddin dan merupakan hasil penulisan ASLI nukilan Anuar Kamaruddin itu sendiri. Sebarang penyiaran semula karya ini tanpa keizinan adalah salah dan melanggar hakcipta penulis. Tindakan akan diambil.
Bab 5
“Kau demam panas ni, Ari...”
“Demam sikit je...aku ok.”
“Kenapa boleh tiba-tiba demam ni? Semalam aku tengok kau sihat je kan?”
“Penyakit tu kan datangnya tak tentu masa. Jomlah, tak payah risaukan aku. Lagi lambat kita bergerak, lagi lewat kita sampai...”
Rasul sudah menelefon Sofwan di kampung memberitahunya akan kepulangan mereka bertiga. Perancangan awalnya mahu bertolak di awal pagi, terpaksa ditunda sehingga ke petang selepas waktu Asar. Sebaik saja Rasul sampai ke rumah sewanya sekitar jam lapan pagi, terperanjat lelaki itu melihat Ari yang terlentang di sofa ruang tamu. Disentuh dahi dan badan lelaki itu, panas seperti orang demam.
Keadaan Ari yang sedikit lemah membuatkan Rasul tidak tenteram hatinya. Cepat-cepat dibawa kawannya itu ke klinik terlebih dulu untuk mendapatkan ubat bagi meredakannya. Setelah disuruh makan tengahari dan pil-pil doktor ditelan, Ari tertidur sehingga lewat petang. Mujurlah suhu badan lelaki itu berkurangan panasnya setelah memakan ubat klinik dan diletakkan tuala sejuk di bahagian dahi, leher dan dada lelaki itu.
“Jiran kita sedekah makanan ye malam semalam? Kenapa kau tak makan? Basi dah lauk-pauk tu aku buka pagi tadi.”
“Aku tak ada seleralah Rasul. Kemudian, lupa pula mahu masukkan ke dalam peti sejuk.”
Ari beralas kata apabila ditanyakan tentang mangkuk tingkat yang terbiar di atas meja dan tidak sempat dijamahnya malam tadi. Lidah lelaki itu terkunci. Dua kali perkara yang bukan-bukan telah mengganggu dirinya. Sebolehnya dia tidak mahu mengingati apatah lagi mahu menceritakan semula kejadian yang barangkali menyebabkan dirinya menggila ketakutan.
Rasul, Ari dan Riki dalam satu kereta bergerak dari Kuala Lumpur menuju ke Indera Kayangan. Tepat jam 5:15 petang. Suasana sepi menyelubungi perjalanan yang memakan masa antara lima hingga enam jam itu. Rasul yang memandu hairan dengan sikap Ari yang menjadi pendiam tiba-tiba. Lelaki itu sekalipun demam sebelum-sebelum ini, mulutnya masih tidak henti membebel. Namun tidak pula pada hari tersebut. Sudahlah Riki berubah laku, sekarang Ari pula?
Rasul memandang cermin sisi melihat Riki yang tidur saja di tempat duduk belakang. Dalam hatinya, Rasul sentiasa berdoa agar akan tiba hari Riki pulih seperti biasa. Allah pasti akan membantu mereka empat sekawan. Itu keyakinan Rasul. InsyaAllah, dengan pertolongan Kiai Karim yang mendalam ilmu agamanya dapat mengembalikan Riki yang dulu.
Ari yang duduk di sebelah tempat pemandu, hanya memandang keluar tingkap. Senyap. Apabila tangan Rasul menyentuh bahu lelaki itu, Ari macam orang gila terperanjatnya. Menepis kiri dan kanan.
“Sorry...sorry. Aku terkejut, mengelamun tadi.”
“Kau sembunyikan sesuatu daripada aku Ari?”
Pertanyaan yang sebenarnya sekadar menduga. Ari pura-pura tidak mengerti. Sekejap saja matanya memandang Rasul dan kemudian melarikan pandangan ke arah luar. Memandang panorama hijau di kiri laluan yang kian gelap suasananya. Dalam tidak sedar sudah lebih sejam, mereka meninggalkan bandar besar.
“Sembunyi apanya? Aku tak sihat sebab tu tak ada mood hari ni.”
“Aku dah kenal kau lama, Ari. Bahasa tubuh kau dapat aku baca. Beritahu aku apa yang mengganggu fikiran kau tu.”
Ari berkira-kira di dalam hati sama ada mahu membuka mulut atau senyapkan saja. Dari menanggung perasaan trauma itu sendiri, terbuka hatinya untuk bercerita akan apa yang terjadi pada malam sebelum dirinya pengsan.
“Aku...aku...”
“YA ALLAH!”
Kereta yang dipandu Rasul dalam sekelip mata terbabas ke tepi laluan dan melanggar pengadang jalan raya. Pecah lampu kiri di bahagian depan kereta itu. Rasul dalam tenang, ada cuak dan kelam-kabutnya. Siapapun akan terkejut jika kereta yang dipandu nyaris-nyaris kemalangan. Bunyi hon kenderaan yang berada di laluan belakang, berkali-kali dibunyikan pemandunya. Berhenti menolong tidak, memaki hamun pula. Istighfar Rasul tidak henti.
Ari yang tidak sempat hendak membuka mulut, macam mahu tercabut nyawanya. Pucat lesi lelaki itu terperanjat apabila Rasul hilang kawalan dalam memandu. Riki yang tidur terpisat-pisat bangun. Tercengang-cengang dia memandang kedua-dua kawannya di depan. Namun tidak pula bersuara lelaki itu.
“Rasul, kau terlelap ke?”
“Tak...tak. Aku rasa kereta ni macam terlanggar sesuatu. Batu barangkali. Aku mahu keluar periksa.”
Mujurlah remang-remang senja belum masuk waktu. Suasana masih terang dalam suram, mudah bagi lelaki itu memeriksa kalau-kalau ada kerosakan pada keretanya itu. Rasul dan Ari keluar manakala Riki tetap menyandar di dalam kereta. Melilau kedua-duanya mencari objek yang mungkin menyebabkan kereta itu tersasar dari laluan. Ari terpandang sesuatu, pergelangan tangan Rasul ditariknya. Menoleh Ari membuang pandangannya ke arah lain.
“Kenapa?”
“Tu...tu... kau tengoklah sendiri...darah apa tu?”
Rasul memandang pada tayar belakang sebelah kanan keretanya. Diamati betul-betul. Memang darah tetapi tidaklah banyak palitan pekatan merah itu. Tidak jauh dari situ, Rasul terperasan pula satu bangkai haiwan yang mati tergilis. Tidaklah besar mana, sedang-sedang saja saiz haiwan tersebut. Barangkali haiwan itu yang dilanggarnya.
“Lah, kita terlanggar binatang tu saja Ari.”
Rasul menuding jari ke arah bangkai haiwan itu. Ari mengecilkan matanya, antara mahu melihat dan tidak. Meremang bulu roma Ari sebaik saja bangkai itu dilihatnya, meluru dia masuk ke dalam kereta. Senja bakal berlabuh tidak lama lagi.
“Orang tua-tua cakap petanda tidak baik tu, Sul.”
“Kau ni tak habis-habis berpegang pada orang tua-tua cakap. Ada benar dan ada palsunya cakap orang tua-tua ni, Ari. Tapi kebanyakannya cuma merapu...”
“Tapi Rasul...yang kita langgar tu, bukan sembarangan binatang. Biawak hitam ada sialnya. Kita patah balik sajalah...”
“Ish, mengarutlah kau ni Ari. Dalam Islam ada cakap benda tu semua? Kalau tak ada, kenapa perlu kita percaya pula? Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena baik atau buruk melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam bulan Safar. Itu sabda Rasulullah dalam hadis sahih. Sekarang ni, kau lapangkan fikiran dari berfikir yang bukan-bukan. InsyaAllah, Tuhan akan sentiasa menemani kita sepanjang perjalanan ni.”
Hendak tidak hendak, pemanduan terpaksa diteruskan walaupun lampu depan sebelah kiri tidak bernyala. Lampu-lampu tinggi di bahu jalanraya sudah terpasang, menerangi laluan kenderaan yang merentasi di bawah. Ari besar matanya, dia tidak mahu tertidur lagi sehinggalah mereka selamat sampai di kampung Sofwan. Rasul biasa-biasa saja riaknya, tidak merungut keletihan pun ketika memandu.
“Kita berhenti solat Maghrib dulu. Dah sampai kawasan rehat pun ni. Boleh isi perut sekali.”
Tiga sekawan itu berhenti sekejap di kawasan rehat dan rawat sebelum meneruskan baki perjalanan lagi sejam dua. Riki senyap saja duduk berdiam diri di dalam surau dan melihat dua kawannya menunaikan solat Maghrib. Kasihan akan Riki yang semakin pendiam sikapnya hari demi hari. Untuk mendengar lelaki itu bercakap, amatlah payah.
Selesai bersolat, mereka ke dewan makan dan membeli makanan di gerai-gerai yang ada di dalam. Berpakat mereka bertiga untuk memesan nasi ayam. Ari berkerut dahi melihat reaksi pengunjung-pengunjung di dewan makan yang juga sedang menjamu selera di situ. Memandang mereka seolah-olah tidak pernah melihat orang saja lagaknya.
“Kita ni selebriti ke sampai semua orang memandang semacam ni, Sul? Kau tengok hujung sana, siap berbisik-bisik sambil tu mata tetap ke arah kita. Musykil pula aku dibuatnya.”
“Abaikan saja. Mereka ada mata, biarlah mereka memandang. Hak mereka... Habiskan makanan lekas, kita mengejar masa ni.”
Rasul tidak mahu mengendahkan pandangan pelik yang dilemparkan kepada mereka bertiga oleh sebahagian besar pengunjung di dalam dewan makan itu. Cepat saja Rasul, Ari dan Riki menyudahkan makanan mereka dan kembali ke kereta. Sempat juga Ari menoleh ke belakang melihat beberapa pasang mata yang tidak putus mengekori mereka sehingga kereta dipandu keluar dari kawasan rehat dan rawat itu.
Lagi setengah jam menghampiri detik sembilan malam. Tiada aral melintang, seawal jam sepuluh sampailah mereka ke Indera Kayangan, kampung Sofwan. Melewati sebuah lagi plaza tol, Rasul teraba-raba mencari duit syiling.
“Kau ada duit kecil, Ari? Aku ada not besar je ni...”
“Alamak, aku pun tak ada duit kecil.”
Rasul menurunkan cermin tingkap dan menghulurkan bayaran tol yang perlu dibayar. Seorang gadis bertudung litup yang bertugas di pondok tol itu mengambil sekeping duit RM50 tanpa banyak bicara. Lega hati Rasul. Entah kenapa, boleh pula gadis itu menggigil-gigil tangannya memulangkan baki di tangan Rasul. Rasul mengukir senyum di wajah namun gadis tol itu seperti orang dalam ketakutan saja riaknya. Tidak sedikitpun lelaki-lelaki di dalam kereta itu dipandang gadis tersebut.
“Pelik-pelik saja perangai orang yang kita jumpa hari ni...” Rasul bersuara. Ari mengangkat bahunya. Perjalanan diteruskan. Sekali lagi Rasul menelefon Sofwan untuk memberitahu lelaki itu yang mereka hampir tiba. Namun tidak berangkat pula panggilan itu. Dalam masa yang sama, kembang kuncup hidung Ari di sebelah apabila terbau sesuatu.
“Bau apa ni, Sul? Macam bau KEMENYAN...”
“Jangan tegur.”
Rasul pendek saja menjawab. Dia juga terhidu bau kemenyan yang entah dari mana datangnya itu. Ari sudah tidak senang duduk. Sebelum ini asyik melekat wajahnya di cermin tingkap, kali ini sudah tegak posturnya dan memandang ke depan. Semakin kuat bau itu melekat di hidung mereka menerawang ke segenap ruang di dalam kereta itu. Riki terlentok saja di tempat duduk belakang. Kereta mereka sudah memasuki kawasan Indera Kayangan.
“Ari, itu Sofwan kan?”
“Sofwanlah tu... ke mana sajalah budak tu berjalan kaki seorang diri...”
Rasul memperlahankan kereta. Laluan denai masuk ke kampung Sofwan sedikit kecil, muat-muat untuk sebuah kenderaan keluar dan masuk dalam satu-satu masa. Ari menurunkan cermin tingkap, kepalanya sudah keluar mahu menegur Sofwan.
“Wei, Sofwan!!!”
“Kurang asam kau, Ari! Nasib baik aku tak ada sakit jantung...sia-sia aku mati terkejut!”
“Hahahahaha! Kau dari mana ni? Apa dalam plastik tu?”
“Dari kedai... Aku beli kemenyan.”
Tertelan air liur Ari yang gatal mulut bertanya. Ari memandang Rasul. Senyap. Rasul menyuruh Sofwan masuk ke dalam kereta. Lagipun rumah datuk dan nenek Sofwan tidak jauh lagi dari situ.
“Kau beli kemenyan tu untuk apa?”
“Kiai Karim suruh aku beli. Orang tua tu kan mengubat kerjanya.”
“Ooo... By the way, salam takziah untuk nenek kau. Maaf sebab tak dapat datang hari tu...”
“Tak apa... aku pun mahu minta maaf. Aku kesal sangat-sangat tak dapat datang hari pengkebumian Ejad. Sudah ditakdirkan pada hari itu juga, kami sekeluarga sedang sibuk menguruskan pengkebumian nenek aku. Nanti bila sudah selesai semuanya, aku ziarah pusara Ejad. Aku harap kau semua faham keadaan aku...”
Bergetar nada Sofwan. Ari dan Rasul faham akan kesedihan berganda yang perlu Sofwan harungi. Kehilangan nenek kesayangan juga kehilangan kawan baik dalam waktu yang sama. Hanya yang benar-benar tabah boleh jadi sekuat Sofwan.
“Ramai betul rumah kau, Wan. Kenduri arwah lagi ye?”
“Kau bertiga masuklah dulu. Aku ke belakang sekejap...”
Rasul memarkirkan keretanya di perkarangan rumah kampung itu yang luas halamannya. Ketiga-tiga mereka terjenguk-jenguk di muka pintu. Rasul mengucap salam dan bersambut salam lelaki itu oleh sebahagian penduduk kampung yang berada di dalam rumah. Ari sepantas kilat menarik tangan Rasul. Dibisiknya sesuatu.
“Kata Sofwan, nenek dia dah dikebumikan. Habis tu, jenazah siapa pula di tengah tu?”
“Jangan banyak soal, kita masuk ke dalam dulu.”
Rasul, Ari dan Riki mengambil tempat di penjuru rumah. Masing-masing duduk bersila di dalam sedang membaca surah Yassin. Mahu bertanya seperti tidak menghormati pula. Ari sekali lagi mencuit bahu Rasul dan menuding jari ke atas.
“Atap zink dia apa pasal ternganga, Sul?”
Rasul meletakkan jari telunjuk di mulut. Geram pula lelaki itu dengan perangai Ari yang sikit-sikit bertanya itu dan ini. Manalah aku tahu, bukan rumah aku! Mahu saja dibentaknya sebegitu. Mujurlah kelibat seseorang yang dikenali baru saja masuk ke dalam rumah dan duduk bersebelahan dengan mereka.
“Bila kamu semua sampai?”
“Baru kejap tadi, kiai. Kiai...tak silap saya, sudah lima hari kan jenazah meninggal. Kenapa tak dikebumikan lagi?” Rasul perlahan bisiknya. Ari sibuk mencuri-curi dengar.
“Angkara saka, Rasul... Aku pun pening kepala dibuatnya. Habis ikhtiar dah tapi masih macam tu juga.”
“Tapi Sofwan beritahu kami tadi, dah selesai kebumi semua. Barangkali dia malu untuk berterus-terang kepada kami agaknya.”
“Bila Sofwan beritahu kamu?”
“Baru sekejap tadi. Kenapa kiai?”
Menggeleng-geleng kepala lelaki tua itu. Serban yang melilit kepalanya, ditanggalkan sekejap. Menggaru kepala si kiai Karim. Wajah anak muda bernama Rasul dipandangnya telus masuk ke dalam.
“Kamu semua ni kena mandi bunga.”
“Ish, kami bukannya nak kahwin kiai...” Sampuk Ari tiba-tiba.
“Mandi bunga tu bukan nak dapatkan jodoh semata-mata tapi antara lainnya nak pulihkan semangat kamu semua.”
“Pulihkan semangat kami? Bukannya kami terserempak dengan hantu, kiai. Hehehehe...” Gelak kecil Ari dan serentak dengan itu, Rasul menepuk kuat kaki lelaki tersebut. Pantang Rasul kalau orang yang tidak tahu erti hormat dan etika ketika bercakap dengan orang yang lebih tua. Tunduk Ari ditegur Rasul.
“Mari aku tunjukkan pada kamu jenazah siapa yang terbaring ni.”
Kiai Karim menyelak kain batik yang membalut keseluruhan jasad yang terkedang kaku di tengah rumah itu. Perlahan-lahan kain di bahagian muka diselak lelaki tua itu.
“YA ALLAH!!!”
Terkebelakang lelaki-lelaki muda itu sejurus melihat wajah jenazah yang terjegil mata putihnya memandang ke atas. Terbeliak. Hilang mata hitam. Mendadak Ari mendakap tubuh Rasul di sebelahnya. Mereka benar-benar terperanjat akan apa yang mereka lihat di depan mata. Pucat lesi masing-masing.
“Tak mungkin kiai... kami tadi baru je terserempak dengan dia. Kalau kiai tak percaya, tanya Rasul. Kami beberapa kali ada telefon dia... Tak mungkin... Mustahil kiai!”
“Mainan syaitan tiada apa yang mustahil, Ari.”
Rasul sendiri keliru dengan perasaannya sekarang. Rasa sedih dan seriau bercampur-baur. Mengucap-ucap lelaki itu tidak menyangka sama sekali. Untuk pertama kalinya, bulu roma lelaki itu naik. Kalau tidak kuat semangat, mahu saja dia pengsan melihat wajah Sofwan yang mengerikan itu. Seperti sedang terseksa rautnya.
“Bila meninggalnya kiai? Kenapa kami tidak diberitahu awal-awal?”
“Lima hari lalu. Waktu arwah neneknya nazak bergelut dengan ajal, aku yang menelefon Sofwan suruh dia balik ke kampung...”
“Kami tahu tu, Kiai... Sofwan ada call kami.” Ari mencelah tidak sabar
“Dalam perjalanan balik, di simpang depan masuk kampung ni... Sofwan dilanggar kereta. Cedera parah anak muda tu, belum sempat mahu dihantar ke hospital...dia sudah tak bernafas lagi. Aku ada hantar mesej di nombor Ejad awal pagi tu...tidak diberitahunya kamu semua?”
“Innalillahi wainnalillahi rajiun. Untuk pengetahuan kiai, Ejad kawan kami tu pun baru meninggal dunia beberapa hari lalu.”
“Kamu jangan main-main, Rasul.”
“Saya bercakap benar, kiai. Saya rasa selepas kiai telefon Sofwan, Sofwan pula menelefon saya dan saya pula ada hantar mesej kepada Ejad. Semuanya berlaku dalam selang waktu yang sama. Barangkali pada masa kiai hantar mesej kepada Ejad, tak sempat dibaca arwah.”
Ari naik bulu romanya mengenangkan peristiwa beberapa minit yang lalu. Di laluan masuk ke Indera Kayangan lah, mereka terserempak dengan Sofwan. Bulu romanya terus-terusan meremang. Ditambah pula mendengar cerita sebenar dari mulut Kiai Karim dan penjelasan Rasul, seperti ada hubungkait antara satu kejadian dengan kejadian yang lain. Ari terkunci mulutnya terus. Riki pula membatu sedari tadi.
Penduduk kampung yang sedang membaca surah Yassin untuk arwah Sofwan terberhenti bacaan mereka. Angin dingin malam menderu masuk ke dalam rumah. Pintu jendela terbuka katup dengan sendiri. Semacam pula dirasai mereka, seperti ada sesuatu yang tidak kena. Bekalan elektrik terputus tiba-tiba, gelap gelita keadaan jadinya. Bunyi dengusan bergema menghinggap deria pendengaran mereka semua. Bertempiaran lari penduduk kampung yang ada di dalam rumah itu, meloncat keluar. Kelam-kabut.





